Thursday, January 21, 2010

KOMPLEKS PAYA BUNGA GAGAL?



KUALA TERENGGANU 16 Jan. - Kerajaan negeri kecewa dengan pemaju Kompleks Paya Bunga di Jalan Tok Lam di sini kerana perniagaan di bangunan itu masih belum lagi beroperasi walaupun pembinaannya telah lama siap.Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Toh Chin Yow berkata, kegagalan itu sedikit sebanyak turut menjejaskan dan mencacatkan imej bandar Kuala Terengganu kerana ia terletak di pusat bandar.Menurut beliau, kompleks tersebut telah diberikan Sijil Menduduki Sementara yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada September 2007 dengan bersyarat.''Ini supaya sistem pemadam api mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dipasang sebelum diberikan Sijil Layak Menduduki (CFO).''Justeru, kerajaan negeri sudah banyak bertolak ansur dengan pemaju bagi membolehkan kompleks tersebut dibuka sepenuhnya, tetapi nampaknya mereka masih gagal,'' katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Bakti Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin di sini hari ini.Tambahnya, kerajaan negeri tidak dapat memastikan masalah sebenar yang dihadapi oleh pemaju hingga menyebabkan operasi perniagaan di kompleks itu masih tertangguh.''Sehubungan itu, saya berharap pihak pemaju dapat menyelesaikan masalah dengan segera agar kompleks tersebut tidak mencacatkan imej bandar Kuala Terengganu,'' katanya yang juga ADUN Bandar.Chin Yow berkata, kira-kira 20 peratus unit kedai di kompleks itu telah dijual, manakala bakinya adalah milik pemaju untuk disewakan kepada orang ramai.Beliau berkata, pada masa ini, sebuah restoran makanan segera telah beroperasi di tingkat bawah kompleks tersebut.Katanya, beliau yakin kompleks tersebut mempunyai potensi besar kerana lokasinya yang terletak di pusat bandar serta berhampiran Perhentian Bas Kuala Terengganu yang menjadi tumpuan ramai.Difahamkan, kompleks yang dimulakan pembinaannya pada 1996 telah tertangguh seketika berikutan kegawatan ekonomi pada 1997 dan 1998.Bagaimanapun, pembinaan kompleks itu disambung semula pada tahun 2000 dengan tambahan kos sebanyak RM18 juta.Bangunan itu kemudiannya berjaya disiapkan pada Jun 2006 dan mendapat sijil tamat kerja (CPC) pada Ogos 2006.Sijil Menduduki Sementara pula dikeluarkan oleh MBKT pada September 2007.