Tuesday, May 18, 2010

Isu, pengundi Cina di Sibu

KEPUTUSAN Pilihan Raya kecil di Sibu berpihaK kepada DAP. Keputusan itu menyimpang daripada status quo kerana kerusi P212 Sibu diisytiharkan kosong selepas Ahli Parlimen Barisan Nasional lima penggal, Robert Lau Hoi Chew meninggal dunia pada 9 April 2010.
Pilihan Raya kecil yang berlangsung kelmarin juga merupakan yang ke sebelas sepanjang dua tahun selepas pilihan raya umum pada Mac 2008. Bermula di Permatang Pauh pada Ogos 2008, diikuti dengan di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Batang Ai, Bukit Selambau, Manek Urai, Penanti, Permatang Pasir, Bagan Pinang dan Hulu Selangor; kesemuanya berpihak kepada gabungan parti pembangkang kecuali dua keputusan pilihan raya kecil yang terakhir berpihak kepada BN serta kemenangan di Batang Ai.

Apakah kekalahan Barisan Nasional (BN) di Sibu merupakan petunjuk yang berbeza dengan kemenangan di Hulu Selangor? Adakah kemenangan DAP yang bertanding buat kali pertama di pilihan raya kecil sejak 2008 menunjukkan parti tersebut mendapat kepercayaan pengundi?
Adakah pengundi juga mula serik dengan politiking yang berlebih-lebihan sepanjang tempoh masa berkempen sehingga kadar peratusan yang keluar mengundi jauh daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hanya 59.86 peratus atau 32,742 pengundi berdaftar keluar mengundi. Jumlah undi pos pula adalah 2,537.

Ia memaparkan seolah-olah wujud sifat alienasi ke atas politik yang terbukti dengan kadar peratusan yang amat rendah walaupun dalam pilihan raya umum 2008, peratusan pengundi adalah 68 peratus daripada 53,679 jumlah pengundi berdaftar. Pada tahun 2004, yang keluar mengundi adalah 62.8 peratus. Dalam pilihan raya negeri 2006, yang keluar mengundi adalah 63.7 peratus. Purata yang keluar mengundi sebelum ini adalah sekitar 64.7 peratus.
Peratusan ini dianggap rendah kerana dipengaruhi oleh beberapa sebab, antaranya pendirian bahawa pilihan raya tidak mempunyai makna ke atas mereka atau wujud tanggapan pilihan raya tidak dapat membawa perubahan; pengangkutan dari kawasan penempatan yang jauh, pengundi bekerja di luar Sibu atau protes ke atas pihak tertentu.

Dalam pilihan raya tahun 2008, calon BN menang dengan majoriti 3,235 undi selepas memperolehi 19,138 undi berbanding dengan calon DAP, Wong Ho Leng (15,903 undi) dan Lim Chin Chuang PKR (812 undi). Ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah kerusi Parlimen ini iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka turut dimenangi oleh BN dalam pilihan raya negeri 2006.

Calon BN yang kalah Robert Lau Hui Yew telah memberikan saingan hebat kepada calon DAP Wong Ho Leng yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek dan pernah bertanding dalam pilihan raya 2008 di Sibu. Pilihan raya kecil ini juga menyaksikan calon Bebas, Narawi Haron bertanding semula kerana beliau pernah bertanding dalam pilihan raya 1995. Pengundi Cina adalah hampir 67 peratus daripada demografi pemilih berdaftar di P212 diikuti Melayu/Melanau sebanyak 10.5 peratus dan Bumiputera Sarawak 22 peratus.
Sepanjang kempen pilihan raya, pelbagai isu telah dijadikan sebagai bahan kempen. Malahan kedua-dua parti cuba mempengaruhi pengundi berdasarkan kepada isu lokal, negeri dan isu nasional Semenanjung.

Pertembungan pilihan raya kecil sebelum ini yang dilihat menguji personaliti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berlaku di Sibu. Sibu menjadi pertembungan untuk meraih sokongan pengundi Cina dan DAP yang majoriti ahlinya merupakan masyarakat Cina meletakkan calon mereka.
Yang memenangkan DAP adalah peratusan pengundi Cina yang keluar mengundi tinggi berbanding dengan kumpulan etnik lain. Kemenangan DAP juga dipengaruhi oleh peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi atas pagar yang berkecenderungan untuk memangkah berdasarkan kepada isu.

Kebetulan isu yang dilontar dalam pilihan raya kecil kali ini banyak bersandarkan kepada persoalan hak sebagai pengundi untuk menunjukkan protes walaupun pengundi akur tidak dapat mengubah kerajaan dengan hanya sekadar menang di Sibu.

Politik adalah persepsi dan kegagalan BN untuk menukar persepsi yang dibawa oleh pembangkang menyebabkan strategi BN masih di takuk yang sama.

Isu keetnikan dan agama dibawa dalam kempen. Ia menjadi pertembungan SUPP dan DAP yang kedua-duanya mahu menjadi jaguh masyarakat Cina. SUPP perlu membuktikan dalam pilihan raya kecil ini bahawa ia relevan untuk masyarakat Cina setelah kehilangan enam kerusi negeri kepada DAP yang telah menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihan raya negeri 2006.
Pengundi Cina yang merangkumi hampir 67 peratus demografi pengundi di Sibu sebenarnya merupakan safe deposit DAP, misalnya di kawasan Palawan yang majoritinya adalah pengundi Cina, DAP memperolehi 11,000 undi berbanding BN 5,000 undi. Malahan, dianggarkan undi Cina meningkat sebanyak 10 peratus berpihak kepada DAP berbanding pilihan raya 2008. Ini kerana DAP memobilisasi isu agama, hak kebudayaan, pendidikan, keadilan, salah laku seperti nepotisme, kronisme rasuah, ekonomi serta pekerjaan dan banjir.

Pembunuhan karakter tidak terkecuali ke atas calon BN dan Tan Sri Taib Mahmud yang telah 29 tahun menjadi Ketua Menteri. Dominasi keluarga beliau ke atas ekonomi negeri dan hegemoni PBB menjadi modal DAP dan masyarakat Cina di sini tidak lagi memberi keutamaan ke atas isu pembangunan.

Isu perkataan 'Allah' menjadi mainan politik tanpa memikirkan sensitiviti antara etnik menyebabkan ia menjadi dominan; juga provokasi isu pembakaran 5,000 kitab Injil di Semenanjung.

Mengapakah SUPP gagal menangkis serangan sedemikian rupa atau membiarkan isu tersebut mendapat perhatian umum? DAP meneruskan agenda pilihan raya sebagaimana yang dilaungkan dalam pilihan raya kecil sebelum ini iaitu 'Sibu4Change, Jom Ubah', walaupun bagi BN perubahan sudah berlaku dan BN mampu berubah.

Strategi DAP jelas mirip kepada usaha untuk menumbangkan kerajaan Gerakan di Pulau Pinang pada Mac 2008 dengan sentimen populis dan usaha meraih sokongan bersifat protes jelas pada saat-saat akhir sebelum waktu kempen berakhir. Jika pengundi membanjiri Chung Hin di Pulau Pinang pada 7 Mac 2008; masyarakat Cina khususnya berpusu-pusu memenuhi ruang legar Hotel Paramount pada 15 Mei 2010.

Pengundi Cina terus menghantui strategi BN dan yang jelas, mereka menjadi kingmaker dalam mana-mana pilihan raya. Pengundi Cina tidak akan berganjak dalam suasana apabila mereka sedar akan menjadi 'penentu' dalam konteks hala tuju kepimpinan dan pentadbiran negara. Yang nyata, baik di Bukit Gantang, Hulu Selangor mahupun Sibu, trend pola pengundian pengundi Cina telah memenangkan calon gabungan parti pembangkang dan melemahkan kekuatan BN.
Walaupun Najib menghampiri pengundi dan jujur untuk membangunkan kedudukan di Sarawak sejak beliau mengambil alih teraju kepimpinan negara, ternyata itu tidak cukup bagi pengundi Cina khususnya.

Walaupun ramai menyoal perbelanjaan dana oleh BN termasuk RM18 juta untuk sekolah vernakular aliran Cina, beliau akur dengan meminta pengundi bantu calon partinya. Ketara, sokongan pengundi Cina tidak berubah untuk terus memberi sokongan kepada DAP.
BN yang banyak bergantung kepada pengundi pengundi Iban dan Melayu Melanau juga perlu menilai semula dan menghalusi kemerosotan sokongan pengundi ini sehingga mempengaruhi pola pengundian dan kadar peratusan yang keluar mengundi.

Undi DAP meningkat sebanyak 2,942 undi manakala bagi BN, ia merosot sebanyak 691 undi jika perbandingan dilakukan ke atas pencapaian keputusan Mac 2008 dan Mei 2010.
Ini sekali gus menunjukkan bahawa tanpa sokongan pengundi Cina, BN yang selama ini bergantung kepada sokongan mantap pengundi Iban dan Melayu Melanau akan berada dalam keadaan kritikal. Di Hulu Selangor, calon BN menang dengan sokongan pengundi Melayu dan India. Bermakna, petanda kekalahan BN menjurus kepada persoalan selama manakah pengundi Cina akan meneruskan trend pengundian sedemikian rupa dan apakah pakatan pembangkang akan terus memobilisasi sokongan masyarakat Cina untuk meraih sokongan?

Dalam perubahan pendekatan BN untuk memenangi semula pengundi Cina, adakah pakatan pembangkang pula akan cuba mendekati pengundi Melayu? Politik sudah tidak mengenali sensitiviti mana-mana kelompok etnik atas nama mahukan kemenangan; masih terikat dengan garis perkauman.

Keputusan pilihan raya dan strategi kempen akan dinilai semula oleh kedua-dua parti kerana semangat dan pendekatan yang sama akan digunakan dalam pilihan raya negeri. Terikat dengan amalan konvensional dengan hanya bergantung kepada trek rekod lama perlu diubah.
Yang penting, jentera parti tidak perlu menunggu sehingga Najib datang. Faktor Najib harus menjadi 'pemangkin' tetapi pasukan parti harus lebih teliti dari segi perancangan dan kejayaan bergantung kepada semangat berpasukan.

Strategi dengan kepelbagaian pendekatan ke atas isu semasa penting untuk disesuaikan dengan kumpulan sasar yang berbeza apatah lagi hari ini anak yang berpendidikan mempunyai tendensi yang tinggi untuk mempengaruhi ibu bapa mereka dan bukan disebaliknya. Bagi SUPP, walaupun tewas, ini bukan luar biasa. Bagi DAP walaupun menang, ini bukan kemenangan selesa.

Keputusan Sibu bukan penolakan berlaku ke atas pentadbiran Najib tetapi bersifat protes ke atas kepimpinan negeri yang masih leka dengan sumbangan besar dalam pilihan raya umum lalu.

Bagi DAP, kemenangan ini memberikan legitimasi moral ketika gabungan parti pembangkang berhadapan dengan krisis kepimpinan parti gabungannya.
Safe deposit BN di Sarawak sedikit tergugat dengan keputusan 16 Mei 2010 tetapi jauh daripada itu, keputusan tersebut boleh digunakan untuk menilai semula kekuatan sebenar masing-masing untuk berhadapan dengan ujian sebenar dalam pilihan raya kerajaan negeri yang perlu diadakan tidak berapa lama lagi.

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment